Tuesday 5 March 2013

Tarian piring bakal bergema di Jengka 13


Gambar sumber http://www.truthmalaysia.com

Dengan izin Allah S.W.T kami sempat singgah menyaksikan anak-anak Generasi ke3 FELDA giat  mempelajari tarian Tradisional Zapin dan Tarian Piring. Sudah lama kami tidak menyaksikan acara-acara kebudayaan seperti itu. Kami juga tabik hormat kepada guru-guru yang sanggup mencurah keringat dan kesabaran untuk menurunkan ilmu agar budaya dan seni Negeri Pahang tidak pupus ditelan arus kemodenan. 

Artikel terperinci dan gambar-gambar berkaitan tidak dapat kami siarkan kerana tidak mendapat kebenaran. Walau bagaimanapun, kami amat menyokong usaha murni mereka dan berharap ada pihak dapat menghulur bantuan seperti alat-alat bantuan mengajar dan kostum.

Tarian Piring

 Tarian piring dikatakan telah wujud beratus tahun dahulu di kawasan Kuala Tembeling. Di sana, tarian piring adalah yang asal yang diwarisi secara turun-temurun. Tarian ini sering ditarikan di majlis-majlis perkahwinan di kampung-kampung. Tarian piring terdapat juga di daerah-daerah lain  tetapi dikatakan  ada percampuran atau perubahan dalam pergerakannya. Cara menari dan pergerakan tari piring adalah berdasarkan tarian pelanduk daripada Bukit Betong, Lipis.  Namun begitu,
 asasnya ialah dengan menggunakan piring dan disertakan dengan bunga atau ragam tarian. Tarian ini mempunyai pelbagai asas gerakan yang mana disebut juga ayun atau buai. Selain itu, tarian ini juga menekankan mimik muka.
    Dalam tarian piring, penari menari dengan membawa dua buah piring. Cincin timah dipakai pada hujung telunjuk dan akan dilagakan kepada piring bagi menghasilkan bunyi di sepanjang tarian selari dengan rentak gong. Beberapa perkara semasa persembahan telah dititikberatkan iaitu cara duduk, bunga tarian dan pergerakan ketika menimang piring. Dalam pergerakan menimang piring, penari akan bergerak ke empat penjuru iaitu hadapan, belakang, kiri dan kanan. Cara duduk pula boleh berlutut atau bertimpuh mengikut keselesaan penari.
    Dalam tarian ini, ada pantun yang dilagukan dan pada asalnya pantun ini tidak mengikut tema atau jenisnya namun kini, lima rangkap pantun telah dicipta oleh Budin bin Gendut atau Pak Cu Budin  sebagai lagu iringan kepada tarian piring.Tarian piring ini dahulunya ditarikan oleh penari lelaki sahaja dengan memakai pakaian tradisi  lengkap orang Melayu Pahang. Kini, tarian ini diolah bagi penari perempuan mengambil bahagian. Bilangan kumpulan tidak ditetapkan dan bergantung kepada keluasan lantai di mana ia dipersembahkan. Alat muzik yang digunakan ialah rebana dan gong (tetawak). Terdapat juga tarian piring diiringi dengan gendang, serunai dan gong mengikut kumpulan dan daerah di mana ia berkembang.
    Di Sanggang, Temerloh, tarian piring dipercayai dibawa oleh pedagang dari Sumatera khususnya dari daerah Rawa. Mereka terdiri daripada peniaga dan mubaligh yang datang ke Tanah Melayu untuk menyebarkan agama Islam. Ia merupakan salah satu seni tarian Minangkabau yang masih diamalkan penduduk Negeri Sembilan keturunan Minangkabau. Kini, tarian piring giat dimainkan di beberapa buah kampung di negeri Pahang seperti Batu Embun(Jerantut), Bolok (Ulu Lanchang, Mentakab), daerah Bera dan Felda Jengka.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...