JENDERAK - Generasi kedua Felda digalakkan menubuhkan persatuan atau kelab di kawasan masing-masing yang boleh menghimpunkan mereka, seterusnya mengeratkan silaturahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, dengan adanya pertubuhan itu, mereka boleh berbincang untuk melaksanakan pelbagai kegiatan.

Menurutnya, paling utama mereka boleh merancang kegiatan ekonomi seperti menubuhkan koperasi, di mana ia boleh menjana pendapatan tambahan kepada generasi kedua Felda.

“Dalam hal ini, kita perlu bijak dan kreatif merebut peluang yang da. Kita tidak boleh berpeluk tubuh melihat kejayaan orang lain. “Generasi kedua Felda adalah golongan terpelajar, di mana mereka mempunyai pelbagai ilmu yang boleh dikongsi bersama untuk memajukan kampung,” katanya pada majlis Jamuan Hari Raya Pertubuhan Kebajikan dan Perpaduan Generasi Felda Jenderak Utara (Wajaf).

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Pengasas dan Pengerusi Wajaf, Mohd Nazri Pilus dan setiausahanya, Muhammad Sabri Azmi. Mohamed berkata, beliau bangga melihat perkembangan generasi kedua di Felda Jenderak Utara kerana mampu menubuhkan satu pertubuhan yang boleh menghimpunkan anak-anak peneroka dan sama-sama menjayakan program.

Menurutnya, ia sepatutnya dijadikan contoh kepada generasi kedua di tanah rancangan lain kerana melalui cara itu mereka dapat mengenali antara satu sama lain.