Sunday 20 April 2014

INDUSTRI KELAPA MATAG



Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta dalam usaha membangun dan mengembangkan tanaman kelapa matag di negara ini mulai tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Sabtu Slamat berkata, tanaman kelapa berkenaan berupaya menghasilkan pendapatan tiga kali ganda berbanding kelapa biasa sekiranya diusahakan menerusi amalan dan teknologi pertanian yang betul.

Menurutnya, berdasarkan kajian bahagian penyelidikan pertanian, sehektar tanaman kelapa matag mampu menghasilkan pulangan sebanyak RM20,000 setahun berbanding hanya RM5,000 kelapa biasa.
"Ia adalah spesies pokok yang cepat berbuah dengan kualiti hasil yang tinggi pastinya merangsang pendapatan petani berbanding pokok kelapa yang lambat berbuah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Khemah Kerja dan Hari Peladang peringkat negeri Kelantan di Kampung Melawi di sini hari ini.
Lebih 100 petani dari seluruh jajahan menyertai upacara itu yang turut disertai Pengarah Pertanian Kelantan, Ab. Lah Ismail.

Sabtu berkata, kelapa baka baharu hasil kacukan benih Malaysia-Filipina itu boleh dikomersialkan untuk membuat kuih-muih termasuk perusahaan jeli kelapa dan santan yang bermutu tinggi.
Setakat ini, katanya, terdapat juga pengusaha yang turut mengusahakan penghasilan benih dan memasarkannya di pasar tani seluruh negara.

"Pada tahun 2017, disasarkan kita dapat membekalkan benih kelapa mencukupi bagi permintaan petani yang bercadang mengusahakannya secara besar-besaran.

"Bagi mencapai matlamat itu, kawasan seluas 70 hektar di Kampung Leking, Johor sudah dikenalpasti sebagai ladang pengeluaran benih terbesar di negara ini," katanya.
Sabtu berkata, pada masa ini kementerian memberi tumpuan yang lebih yang membabitkan negeri Perak, Johor, Selangor dan Kelantan.

Di Kelantan, katanya, kawasan seluas 60 hektar sedang diusahakan dengan tanaman itu bagi menggantikan kelapa Malaysia Tall (kelapa biasa) di pesisiran pantai di Kampung Melawi yang membabitkan tiga fasa bermula 2011.

"Jabatan Pertanian Kelantan memperuntukkan sejumlah RM240,000 bagi menjayakan projek tanaman ini yang dapat memberi faedah kepada 160 petani," katanya.


*sumber Berita Harian


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...